Media melaporkan pada 16 Jun 2020 bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kini bebas kanser dan cukup sihat untuk bertugas setelah Sarawak Report mendakwa bahawa beliau telah melanggar kuarantin Covid-19 untuk pergi menjalani rawatan kimoterapi di Singapura beberapa minggu lalu. Sarawak Report kemudiannya dituduh membuat fitnah tentang aktiviti penyeliaan kesihatan perdana menteri itu yang dijalankan oleh para doktor dari Hospital Gleneagles, Singapura. Persoalannya, adakah mungkin bagi pakar perubatan memberi pengesahan lebih awal bahawa beliau sudah bebas kanser tanpa beliau menjalani pelbagai ujian dan rawatan? Ironisnya, ‘laporan perubatan’ yang dikeluarkan oleh Dr. Lam Kai Seng dari Pusat Perubatan Pantai dan Perunding Kesihatan Dada Tan Sri Datuk K. Ampikaipakan dari Klinik Dada dan Perubatan Ampi Sdn Bhd bertarikh 12 Jun 2020 itu merupakan satu rumusan pengesahan tahap kesihatan Muhyiddin Yassin yang dibuat lebih awal untuk menangani tuduhan Sarawak Report yang mengatakan beliau telah melanggar perintah kuarantin.
Tahap kesihatan Muhyiddin Yassin sudah lama bermain dalam fikiran rakyat kerana beliau tidak pernah memberikan kenyataan peribadi tentangnya. Namun apakah yang membuat Pejabat Perdana Menteri (PMO) tiba-tiba mengeluarkan satu kenyataan akhbar untuk ‘memperbetulkan keadaan’? Mengapa tiba-tiba Muhyiddin Yassin didapati kini tiada punya sebarang bukti kanser dan pasti bahawa penyakit itu tidak berulang, maksudnya beliau ‘bebas kanser’?
Sememangnya tahap kesihatan Muhyiddin Yassin bukanlah satu petunjuk aras kepada tahap kecerdasan beliau untuk mendapatkan sokongan sebanyak mungkin untuk kekal sebagai perdana menteri dan mengetuai Perikatan Nasional (PN). Dan hampir setiap hari, rakyat Malaysia sering dimaklumkan tentang lebih banyak jawatan atasan GLC yang dipegang oleh pemimpin-pemimpin politik, terutama dari UMNO, sebagai sebahagian dari “norma baharu” beliau. Makluman-makluman ini didapati lebih kerap berbanding dengan maklumbalas kepada pelbagai isu yang beliau sepatutnya beri. Adakah beliau akan terus berasa selesa dengan kesemua ‘pembelian untuk sokongan’ tersebut dan terus bangga dengan jolokan “Abah” beliau? Tidakkah beliau berasa tergugat dengan usaha Pakatan Harapan (PH) atau Tun Mahathir untuk menjatuhkan beliau dan PN sebelum tibanya sidang Parlimen pada Julai nanti? Dapatkah beliau mendapatkan bilangan sokongan yang mencukupi dalam Parlimen ke atas sebarang rang undang-undang yang tertunggak atau yang baharu berkenaan Sabah dan Sarawak?
By: Adilah Jaffar
No comments:
Post a Comment