Friday, August 7, 2020

Adakah Mahathir setia berpaut pada Shafie dalam pilihanraya negeri Sabah untuk kepentingan diri sendiri?

  Malaysian Mirror       Friday, August 7, 2020

Dalam satu sesi webinar dalam talian baru-baru ini, Tun Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa beliau akan berkempen menentang ADUN Sabah yang didakwa korup yang telah melompat parti dan menyokong mantan ketua menteri Tan Sri Musa Aman dan mencabar Perikatan Nasional (PN). Beliau berkata bahawa beliau juga akan memastikan mereka yang telah melompat parti itu akan ‘dihukum’ oleh para pengundi pada pilihanraya negeri Sabah tidak lama lagi. Ini menunjukkan bahawa Tun Mahathir sangat mahukan Warisan untuk terus berkuasa agar beliau dapat terus ‘berfungsi’ buat boneka beliau yang setia iaitu Dato’ Seri Shafie Apdal.

Bagaikan mengulangi kenyataan Tun Mahathir, Shafie Apdal berkata bahawa Warisan tidak akan menjadikan mana-mana “katak lompat” sebagai calon dalam pillihanraya tersebut. Beliau menambah lagi, ‘kesetiaan’ merupakan kriteria utama bagi mana-mana calon parti untuk bertanding. Secara logiknya, kriteria apa lagi yang boleh Shafie Apdal pastikan ada dalam diri calon-calon tersebut demi menjaga kepentingan parti selepas dimalukan oleh sembilan ADUN parti itu yang bertindak melompat parti  pada 30 Julai lalu untuk menyokong musuh beliau, Musa Aman? Tambahan pula, definisi kesetiaan yang dipersoalkan itu kini sudah menjadi tidak jelas memandangkan sudah ramai ahli parti yang meninggalkan organisasi mereka atas sebab-sebab tertentu seperti memenuhi kepentingan diri sendiri, dipaksa, berubah pandangan politik, ‘dilacurkan’ secara politik, dan sebagainya. Dalam erti kata lain, mereka lompat parti atas pelbagai sebab. Malahan, Shafie Apdal sendiri telah meninggalkan UMNO pada tahun 2016 atas sebab-sebab yang hanya beliau yang tahu lalu menubuhkan Warisan. Samalah juga dengan Tun Mahathir yang juga pernah meninggalkan UMNO dan menubuhkan Bersatu. Justeru, secara konteks, ‘kesetiaan’ pada sesebuah parti adalah subjektif. Kedua-dua pemimpin ini ternyata hanya memanipulasi perkataan “kesetiaan” untuk kepentingan diri sendiri, bukan atas dasar nilai, kredibiliti, integriti atau prinsip.

Tidakkah Tun Mahathir dan Shafie Apdal bersifat hipokrit dalam pendirian mereka terhadap sesiapa yang melompat parti? Atau patutkah Shafie Apdal mencontohi tindakan Tun Mahathir di masa lampau di mana beliau sendiri menerima sejumlah pemimpin UMNO yang melompat masuk ke dalam Bersatu dengan hati terbuka? Inilah yang dikata, “Paku dulang paku serpih, kata orang dia yang lebih”.

By Adillah Jaafar
 

An online platform to show the Image of Democracy of Malaysia. Let's take part in the Democratic Movement of Malaysia and show the beautiful image of Malaysia to the whole world.
logoblog

Thanks for reading Adakah Mahathir setia berpaut pada Shafie dalam pilihanraya negeri Sabah untuk kepentingan diri sendiri?

No comments:

Post a Comment