Saturday, July 11, 2020

Bulan Julai yang pastinya diingati rakyat Malaysia

  Malaysian Mirror       Saturday, July 11, 2020
democracy, malaysianmirror, UmmahIslamiahMalaysia, Democratic, Movement, Malaysia, malasiyatiktok, AnwarforPM9,
Tibanya bulan Julai, rakyat Malaysia pastinya nantikan satu rentetan peristiwa yang bakal meninggalkan satu tanda dalam sejarah negara. Antaranya, sesi Parlimen pada 13 Julai dan pendengaran keputusan Mahkamah Tinggi ke atas kes rasuah pertama Dato' Seri Najib Razak yang berkaitan dengan skandal kewangan 1MDB pada 28 Julai nanti.

Para ahli Parlimen tentunya paling teruja dalam mengira hari menjelang 13 Julai kerana inilah sesi pertama yang membenarkan mereka berdebat setelah bercuti panjang kerana pandemik Covid-19. Tidak seperti yang diadakan pada 18 Mei lalu, sesi pada kali ini bakal menyaksikan kehadiran ahli Parlimen kedua-dua pihak di mana 'kekuatan' kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin harus 'ditayangkan' dengan penuh keyakinan. Persoalannya di sini, adakah Muhyiddin Yassin sudah bersedia dengan kubu pertahanannya? Sumber-sumber yang dipercayai telah mengatakan bahawa beliau telah meminta sebanyak 50 kerusi daripada UMNO pada awal Jun lalu, namun permintaan itu telah ditolak kerana UMNO mahu berjuang sendirian semasa PRU15. Dan baru-baru ini, satu lagi sumber mengatakan bahawa UMNO hanya sanggup memberi 15 kerusi kepada Bersatu. Jika dikira-kira, dapatkah Muhyiddin Yassin pamerkan jumlah yang memihak kepada beliau dengan cukup?

Selain kes-kes mahkamah yang kini sedang berjalan berkaitan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang melibatkan pemimpin-pemimpin UMNO yang terkenal, kes Najib Razak merupakan kemuncaknya. Letak tepi dahulu 'kejutan' akibat keputusan kes Riza Aziz, Tan Sri Musa Aman dan Tan Sri Isa Samad beberapa minggu lalu, rakyat Malaysia yang mengimpikan perubahan dan pembaharuan semasa PRU14 tentunya mendambakan usaha kerajaan untuk membebaskan negara dari rasuah dengan memenjarakan sesiapa sahaja yang merompak wang negara termasuklah Najib Razak, isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Low Teck Jho atau Jho Low dan sesiapa sahaja yang bersubahat dengan mereka. Walaubagaimanapun, sejak kerajaan PN mengambilalih kuasa pentadbiran negara dan hubungan baiknya dengan Barisan Nasional (BN) dan kleptokrat UMNO, rakyat Malaysia menjadi semakin bimbang dan pastinya terkesan dengan keputusan yang bakal ditentukan oleh mahkamah ke atas kes-kes yang sedang berjalan. Lebih teruk lagi, mereka bimbang jika yang tertuduh itu bakal dibebaskan sepertimana Riza Aziz, Musa Aman dan Isa Samad. Muhyiddin Yassin pula hanya berdiam diri terhadap segala keputusan tersebut dan ini memberi gambaran bahawa beliau turut mengecewakan rakyat.

Apa lagi yang bakal berlaku dalam bulan Julai? Adakah rakyat Malaysia akan terus menyaksikan Tun Mahathir membebel tentang pilihan calon Perdana Menteri iaitu Dato' Seri Shafie Apdal, Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai calon timbalan perdana menteri 1 , dan Dato' Seri Mukhriz Mahathir sebagai calon timbalan perdana menteri 2 Pakatan Harapan (PH)? Atau adakah nanti bakal terjadi satu lagi 'langkah' yang digerakkan oleh Dato' Seri Azmin Ali dan rakan baiknya Dato' Seri Hishammuddin Hussein? Atau adakah ada sinar sebenar yang bakal timbul bagi rakyat Malaysia yang sekian lama mahukan pembaharuan dan keadilan? Marilah sama-sama kita harungi bulan Julai.  

By Adillah Jaafar



An online platform to show the Image of Democracy of Malaysia. Let's take part in the Democratic Movement of Malaysia and show the beautiful image of Malaysia to the whole world.
logoblog

Thanks for reading Bulan Julai yang pastinya diingati rakyat Malaysia

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment