Seperti yang telah dipersoalkan oleh presiden Parti Solidariti Tanah Airku Datuk Jeffrey Kitingan, hanya Tun Mahathir yang tahu mengapa beliau mencalonkan presiden Warisan, Dato’ Seri Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH), selain diri beliau sendiri dan ketua pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Tun Mahathir, dalam satu penjelasan yang dikongsikan beliau di laman media sosial beliau, mengatakan bahawa Shafie Apdal merupakan pilihan terbaik kerana Ketua Menteri Sabah itu merupakan salah seorang yang mula-mula mendedahkan penglibatan rasuah Dato’ Seri Najib Razak dalam skandal kewangan 1MDB sebelum PRU14. Jelas sekali, tindakan Tun Mahathir itu untuk mencalonkan Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri terang-terang merupakan satu usaha untuk menghalang Anwar Ibrahim dari menyandang jawatan itu dan membuka jalan untuk anak beliau menjadi perdana menteri demi kepentingan keluarga. Sememangnya Tun Mahathir sangatlah licik meskipun beliau berpura-pura tidak berminat akan jawatan itu tetapi tetap meletakkan boneka-boneka beliau untuk memenuhi kehendak beliau, Pastinya beliau mempunyai rancangan untuk Anwar Ibrahim tidak lama lagi seperti tempoh 6 bulan yang beliau mahukan untuk menghapuskan Anwar Ibrahim.
Amatlah jelas di sini bahawa Tun Mahathir tidak boleh hidup tenang jika waris beliau tidak memegang jawatan perdana menteri itu. Pengumuman beliau yang dikatakan “pilihan PH” nyata dibuat tanpa kehadiran PKR atau presidennya Anwar Ibrahim – merupakan mandat sebenar rakyat yang telah dijanjikan oleh Tun Mahathir pada PRU14. Tun Mahathir terus-terusan menuduh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan “pintu belakang” Perikatan Nasional (PN) sebagai pengkhianat dan jahat kerana bersekongkol dengan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang kleptokrat, tetapi beliau sendiri lupa bahawa beliau tidak mendapat sokongan pengundi Malaysia sejak beliau mengecewakan mereka Februari lalu. Rentetan peristiwa pada minggu lalu memperlihatkan ketidakwarasan dan perbuatan tidak masuk akal beliau yang sebaliknya meletakkan boneka beliau, Shafie Apdal, untuk mengurangkan tekanan dalam PH akibat perbuatan beliau sendiri. Tanggapan rakyat terhadap PH menjadi semakin buruk disebabkan beliau yang terjebak terus ke dalam PH dek kerana Lew Chin Tong dan Kula Segaran yang telah selesa menjadi orang suruhan beliau selama 22 bulan.
Jelaslah bahawa Lew Chin Tong, Kula dan Datuk Seri Salahuddin Ayub telah mengecam Anwar Ibrahim kerana bertemu dengan Dato’ Seri Hamzah Zainuddin hanya kerana mereka menjalankan tugas sebagai orang suruhan Tun Mahathir selain untuk menjatuhkan PH. Mengapakah otai-otai DAP seperti Lim Kit Siang, Gobind Singh Deo dan Lim Guan Eng tidak Nampak perbuatan orang-orang suruhan Tun Mahathir itu yang Tun Mahathir hanyalah mahu mempergunakan PH demi kepentingan beliau sendiri?
Meskipun Shafie Apdal meminta masa untuk memikirkan cadangan Tun Mahathir itu, tidakkah ini memperlihatkan kelicikan Tun Mahathir dalam mempersendakan Anwar Ibrahim dan PKR, dan mengapa Majlis Presiden pakatan itu hanya membiarkan Tun Mahathir melakukan apa sahaja tanpa sebarang sekatan? Berhati-hati demi masa hadapan beliau sendiri, Shafie Apdal berhak untuk mempertimbangkan pencalonan tersebut sementara menunggu pengesahan Majlis Tertinggi PH. Beliau sedia maklum dengan sifat manipulatif Tun Mahathir namun tidak mahu dipersalahkan atas tindakan Tun Mahathir ke atas Anwar Ibrahim di waktu beliau tidak boleh berbuat apa-apa. Justeru, mengapa perlu Tun Mahathir tunggu lagi? Beliau sepatutnya terus sahaja menamakan anak kesayangan beliau, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir, sebagai calon perdana menteri yang pastinya akan mengikut segala rentak beliau.
by Adilah Jaafar

No comments:
Post a Comment