Keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjodohkan UMNO dan sekutunya PAS dengan kem Bersatu beliau di bawah Perikatan Nasional (PN) jelas menunjukkan darah UMNO yang mengalir dalam tubuh beliau masih hangat. Masih ingatkah lagi pada tuduhan Tun Mahathir yang mengatakan Muhyiddin Yassin memiliki ‘penyakit UMNO’ kerana hubungan rapat beliau dengan pemimpin tinggi UMNO dan pemberian jawatan GLC kepada pemimpin dan ahli UMNO? Nampaknya kini Muhyiddin Yassin sudahpun membuktikan bahawa dakwaan itu benar.
Penyingkiran Muhyiddin Yassin dari UMNO semasa pemerintahan Dato’ Seri Najib Razak pada suatu masa dahulu mungkin hanya satu sandiwara. Mungkin dengan itu beliau boleh menjadi orang penting dalam sebuah parti baharu iaitu Bersatu di sisi Tun Mahathir, dengan memberi gambaran bahawa beliau merupakan mangsa Najib Razak. Naifnya Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Tun Mahathir ketika itu untuk meletakkan kepercayaan mereka ke atas Muhyiddin Yassin sehinggalah berlakunya perpecahan dalam Bersatu, yang mana telah menggugat kedudukan Tun Mahathir sebagai pengerusi parti dan ketua negara, dan seterusnya membawa kepada kekalahan PH kepada PN pada Februari lalu. Adakah Muhyiddin Yassin bangga dengan perbuatan balas dendam ini? Apakah agaknya motivasi beliau untuk berbuat begitu?
Sama ada secara paksa atau rela, seseorang yang keluar dari UMNO pasti memiliki satu sifat yang sama yang kita semua perlu berjaga-jaga. Antara sifat itu adalah tamak dan penuh tipudaya. Mungkin bagi orang Melayu, UMNO adalah medium untuk mereka jadi terkenal, kaya atau berkuasa, dan selalunya cara mereka mendapatkan semua itu tidak betul. Sebagai contoh, pasti akan ada pemotongan peratusan dari jumlah wang yang digunakan untuk pelbagai projek dan kontrak oleh ahli-ahli politik yang kleptokrat, yang mana tidak akan diperoleh oleh pihak yang tidak berkemampuan. Peruntukan berjumlah seratus ringgit untuk seorang fakir miskin semasa PKP tidak akan bernilai seratus ringgit apabila ia sampai ke tangan fakir tersebut kerana sudah berlakunya ‘potongan-potongan’ ke atas peruntukan tersebut yang masuk ke dalam poket ‘pihak yang menguruskannya’. Lebih buruk lagi, semua ini dilakukan oleh ahli-ahli politik yang kononnya Melayu Muslim ke atas mereka yang juga Melayu Muslim. UMNO sudah sekian lama berlaku tidak adil kepada komuniti Melayu terutama dalam hal yang melibatkan wang dan peluang kerana semua ini sering hanya diberi kepada ahli-ahli politiknya yang lintah darat. Ini hanyalah sebahagian dari contoh-contoh kecil perbuatan UMNO. Ada lagi banyak contoh besar yang ramai diamkan kerana ianya dianggap ‘amalan biasa’ tahap paling tinggi.
Mereka yang telah dilabel sebagai kleptokrat seperti Najib Razak, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, dan Dato’ Sri Bung Mokhtar adalah sebahagian dari nama-nama yang terkenal dengan beberapa kes mahkamah melibatkan wang. Ini hanyalah sebahagian dari contoh ‘bapa-bapa’ dalam parti, sementara ‘anak-anak’ turut ikut jejak mereka. Ini sangat memalukan! Mandat rakyat pada 2018 jelas menolak kleptokrasi dan ideologinya! Dan Muhyiddin Yassin kini cuba menafikan harapan yang bersejarah itu!
Tidak syak lagi bahawa Muhyiddin Yassin masih bangga dengan darah keturunan UMNO beliau kerana kini beliau cuba kembali ke pangkuan UMNO walaupun tahu akan kesan buruknya. Pematuhan beliau pada arahan Najib Razak turut menggambarkan bahawa beliau bakal membenarkan rasuah untuk kembali bermaharajalela dalam negara. Tergamaknya beliau! Tidakkah beliau sedar dengan siapa beliau bersama sekarang dan apa yang bakal berlaku? Atau… adakah ‘perpisahan’ beliau dengan UMNO satu masa dahulu hanyalah satu sandiwara berpandukan ‘skrip’ Najib Razak agar beliau dapat membalas dengan terhadap Tun Mahathir dan PH? Nampak gayanya, rakyat Malaysia terus-terusan dipermainkan oleh mereka ini.

No comments:
Post a Comment