Tun Mahathir sering dilihat sebagai insan yang menghalang Dato’ Seri Anwar Ibrahim dari menjadi perdana menteri berdekad lamanya. Meskipun persengketaan yang bermula sejak lewat 90an itu seakan telah dilupakan terutama apabila Pakatan Harapan (PH) telah bersetuju untuk memberi laluan kepada Tun Mahathir untuk memimpin dahulu pakatan tersebut dengan syarat jawatan tersebut diserahkan kepada Anwar Ibrahim dalam ‘satu tempoh yang dipersetujui’, PH kian selalu dipersalahkan dan dipersendakan atas segala kesilapan yang dilakukan oleh insan berumur 94 tahun itu. Lebih buruk lagi, kejatuhan PH pada Februari 2020 terus memalingkan pandangan mata rakyat dari pengkhianatan dan korupsi yang dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kesan dari peletakan jawatan Tun Mahathir sebagai perdana menteri sejurus selepas dakwaan ketidaksetujuan beliau terhadap “scheme of thing” yang dianjurkan Muhyiddin Yassin sebelum Langkah Sheraton pada 23 Februari 2020, sebarang usaha oleh PH untuk mendapatkan semula mandat rakyat yang telah diberi pada Mei 2018 ditolak oleh rakyat yang sudah hilang kepercayaan dan putus harapan. Malah Anwar Ibrahim kini terkesan dengan situasi ini meskipun belialah yang mengetuai PH sebagai ketua pembangkang yang sering dibuli oleh Tun Mahathir.
Ramai yang menggesa agar Anwar Ibrahim berhenti berharap kepada Tun Mahathir kerana beliau sudah sering disakiti berkali-kali. Malahan, ahli-ahli Otai Reformasi yang sekian lama menjadi penyokong tegar Anwar Ibrahim sejak tahun 90an baru-baru ini mengulang semula kenyataan mereka terhadap Tun Mahathir yang mereka anggap ‘menyakitkan hati’ itu dan menggesa PH untuk menolak sebarang usaha untuk menjadikan beliau sebagai perdana menteri semula. Mereka beranggapan bahawa Anwar Ibrahimlah calon paling sesuai untuk memimpin negara dan mereka turut mengingatkan PH bahawa sejarah bakal berulang sekali lagi sekiranya PH membenarkan Tun Mahathir kembali memegang kuasa kerana adalah tidak semudah itu beliau akan berundur dan ini akan menyebabkan kepercayaan rakyat menjadi lebih luntur terhadap PH.
Sudah tiba masanya Anwar Ibrahim berdiri teguh pada prinsip-prinsip yang beliau pegang selama ini. Beliau mesti berpisah dengan Tun Mahathir yang acapkali mengaku di belakang media bahawa beliau tidak akan bekerjasama dengan presiden PKR itu. Rakyat Malaysia yakin bahawa Anwar Ibrahim akan memenangi hati dan kepercayaan mereka dengan kaliber beliau sebagai seorang pemimpin tanpa perlu dicemari imej Tun Mahathir yang tamak dan dibenci rakyat.
By: Adilah Jaffar
An online platform to show the Image of Democracy of Malaysia. Let's take part in the Democratic Movement of Malaysia and show the beautiful image of Malaysia to the whole world.

No comments:
Post a Comment