Enam bulan bukanlah satu jangkamasa yang lama bagi sesiapapun untuk menyusun strategi untuk menang atau kalah dalam sesuatu pertempuran. Inikan pula dengan senario politik Malaysia yang kini penuh dengan pelbagai permainan dan rancangan yang dikelolakan oleh pelbagai pihak. Media melaporkan bahawa Pakatan Harapan (PH) masih tidak menemui kata sepakat dalam hal pemilihan calon perdana menteri kerana PKR dan presidennya Dato’ Seri Anwar Ibrahim berpendirian teguh untuk tidak memilih Tun Mahathir. Setiausaha organisasi DAP Anthony Loke pada awalnya menggesa PKR untuk menerima keputusan mereka memilih Tun Mahathir sebagai calon perdana menteri bagi jangkamasa enam bulan. Ini diikuti presiden Amanah Mohamad Sabu yang turut memberi gesaan yang sama ke atas PKR agar menurut sahaja rancangan tersebut dengan jaminan bahawa Anwar Ibrahim akan dijadikan Perdana Menteri ke-10 selepas tempoh itu berakhir. Jaminan yang diberi oleh Anthony Loke kepada PKR dengan membenarkan jawatan Perdana Menteri ke-9 itu disandang oleh Tun Mahathir merupakan “satu mekanisma” yang digunakan untuk memastikan bahawa Tun Mahathir berpegang pada janji beliau untuk melepaskan jawatan tersebut kepada ketua pembangkang itu.
Hakikatnya, Tun Mahathir boleh melakukan apa sahaja dalam tempoh enam bulan itu dan jika Anwar Ibrahim turut bersetuju, beliau hanya akan memusnahkan kerjaya politik beliau sendiri. Anwar Ibrahim seharusnya belajar dari sejarah beliau sendiri di mana mantan Perdana Menteri ke-8 itu pernah menyakiti, menyiksa, dan memungkiri janji-janji beliau sehinggakan Anwar Ibrahim hampir kehilangan maruah dan harga diri. Hukuman penjara, keaiban, seksaan fizikal dan emosi yang telah dikenakan oleh Tun Mahathir ke atas Anwar Ibrahim seharusnya tidak boleh dipandang ringan meskipun presiden PKR itu seorang yang sangat penyabar. Perjanjian enam bulan itu boleh dilanggar dan diubah bila-bila masa sahaja apabila pemimpin berumur 95 tahun itu kembali berkuasa. Secara umumnya, adalah penting bagi seseorang untuk berprasangka baik dengan orang lain namun sayangnya sifat itu tiada pada Tun Mahathir, jadi mengapa perlu Anwar Ibrahim tunduk mengalah?
Anwar Ibrahim seharusnya tidak membiarkan dirinya dipermainkan oleh Tun Mahathir lagi. Apa yang lebih utama, presiden PKR itu mesti ingat bahawa rakyat sudahpun muak dengan permainan dan sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Tun Mahathir. Jika beliau menerima terma yang diajukan oleh DAP dan Amanah, beliau bukan hanya membawa risiko kepada kerjaya beliau dan PH, tetapi juga kepada masa hadapan rakyat.
By Adillah Jaafar
No comments:
Post a Comment